Bangsawan adalah satu media hiburan yang lengkap untuk menghiburkan penontonnya. Ia bukan sahaja menghidangkan sebuah lakonan yang sangat dramatis malah ia juga diselitkan dengan nyanyian,tarian,kugiran(alat musik traditional) dan juga lawak jenaka. Jadi Bangsawan adalah salah satu khazanah yang kita patut angkat dan martabatkan. Kini banyak persembahan dapat kita tonton di merata negeri bahkan pihak kerajaan juga berusaha untuk menghidupkan kembali khazanah ini dengan mengadakan Festival Bangsawan di peringkat negeri dan kebangsaan.Ini adalah satu langkah yang amat bagus sekali untuk memeliharanya.
Bangsawan adalah satu persembahan yang amat unik sekali dan ada keistimewaan tersendiri. Sesuatu persembahan bangsawan itu tidak akan lengkap jika tidak disertakan set atau pentasnya yang penuh warna dan penuh kemewahan lebih-lebih lagi semasa babak di dalam istana atau balai rong seri.Tidak hairanlah set-set ini sangat berat dan amat sukar sekali untuk diubah pada setiap kali pertukaran babak dimana ia mengambil sedikit masa untuk melaksanakannya.Jadi sebab itulah diadakan persembahan selingan atau lebih tepat lagi ‘extra turn.’
Para penonton biasanya akan dihidangkan dengan persembahan nyanyian,tarian dan juga lawak jenaka bagi memberi laluan kepada para krew mengubah set bagi babak seterusnya.

Tahukah anda, pada zaman kegemilangan bangsawan dulu,tidak semua penonton yang hadir datang untuk menonton lakonan semata-mata, ramai juga yang datang hanya untuk menyaksikan extra turn sebab ia menghiburkan penonton dengan lagu-lagu dan tarian-tarian yang popular pada masa itu seperti mambo, rumba, cha cha, limbo dan sebagainya di selangi dengan joget dan ronggeng. Di situlah mereka dapat melihat dan belajar segala tarian-tarian dan lagu-lagu baru dari barat serta menari bersama. Para penonton juga boleh meminta lagu kegemaran mereka dengan menulis di atas kertas dan disertakan dengan wang upahnya dan mereka juga boleh memilih siapa saja untuk menyanyikan lagu itu(para pelakon).Jika lagu itu dinyanyikan dengan baik dan memuaskan hati mereka maka duit akan dicampak ke atas pentas dan akan dibahagikan kepada ahli produksi.
Berbalik kepada artikel dangdud tadi,bagi aku ia tidak langsung mencacatkan persembahan itu sama sekali kerana di dalam bangsawan ia juga kedang-kala boleh dipelbagaikan mengikut kehendak penontonnya.Bukanlah maksudku menggalakkan lagu-lagu Snoop Doggy Dog ataupun My Chemical Romance dalam bangsawan. Aku masih waras, tapi maksud ku asalkan ia masih lagi berkait dengan budaya kita, tiada salahnya. Syabas Persatuan Seni Bangsawan Bintang Timur dan penuntut-penuntut ASWARA.
Pernah juga aku terbaca artikel atau komen persembahan bangsawan dalam sebuah surat khabar tabloid yang berbunyi (lebih kurang), ‘Persembahan malam tadi boleh dikategorikan sebagai sempurna jika tidak kerana persembahan nyanyian pada setiap pertukaran babak yang mengganggu konsentrasi penonton,’. Ini menunjukkan yang wartawan ini tidak tahu-menahu tentang asal-usul dan persembahan bangsawan apatah lagi tentang extra turn.
Untuk memelihara keunikan bangsawan dan extra turn ini, aku rasa elok juga diselitkan tarian-tarian traditional yang telah lama tidak didengari dan disaksikan dimana aku rasa ia hampir pupus dan sepatutnya ia diperkenalkan semula kepada golongan muda seperti Mek Mulung, Barongan, Cik Siti Wau Bulan dan sebagainya supaya ia akan kekal dan tidak lenyap ditelan zaman, bukan hanya memainkan lagu-lagu yang selalu didengar seperti Patah Hati, Tudung Periuk dan sebagainya. Tidak salah juga sekali sekala diselitkan irama-irama lain seperti dangdud serta tarian-tarian yang dapat menarik ramai penonton baru.