Wednesday, December 9, 2009

Penulisan Teramat Jujur

Seorang kawan pernah bertugas sebagai guru di kepulauan Borneo.Banyak cerita gelagat bebudak yang lawak gila pernah dikongsi.Ini antara yang paling dia ingat.Seorang guru seni yang terpaksa mengajar Bahasa Malaysia.......parah mamat ni.


Sungguh jujur penulis ini,kalau Faisal Tehrani tengok pun mesti dia terancam hehehe

Monday, October 26, 2009

Anak Tangga Ke Lapan...


Setelah hampir setahun berhijrah dari utara ke ibu kota dan dari kehangatan lampu pentas ke silau cahaya lampu di belakang kamera,akhirnya pengorbanan aku membawa hasil.Bukan sekadar susah payah dan penat lelah sahaja yang perlu aku curah,nasib dan rezeki juga tampil disebelah.
Walaupun banyak juga muka aku dapat diselitkan di dalam drama-drama melayu di tv,tidak pernah terlintas peluang ke skrin panggung datang dengan begitu cepat.Berkat doa mak ayah barangkali.Pernah juga aku tanam dalam benak otak aku yang aku akan berjuang hingga menjadi pelakon utama sebuah filem tapi tidak secepat ini.Alhamdulilah,rezeki datang awal.Aku tak akan hampakan sesiapa.
Aku telah mendapat kepercayaan daripada pengundi-pengundi yang kerap melawat murai.com. bagi membawa watak Ghous seorang bi sexual yang mata keranjang, seorang orpotunist dan akan berganding dengan seorang lagi pelakon yang mendapat undian tertinggi bagi watak seorang transexual iaitu Arja Lee dalam filem ...Dalam Botol.Tetap merasa yang rezeki memihak kepada aku dan bukan kerana aku lebih hebat dari dua orang pelakon senior yang berentap merebut watak itu.Ternyata aku memang menghormati dua orang pelakon ini dan berharap akan dapat bekerja dengan mereka di masa akan datang.Aku berharap juga ia akan menjadi kerjaya tetap aku untuk bertapak dan mencari rezeki.
Sekalung budi,jutaan kasih kepada 'casting director' saudara Adlin Aman Ramli dan penerbit filem ini Puan Raja Azmi dan juga saudara Khair Rahman sebagai pengarah kerana memberi kepercayaan serta sesiapa sahaja yang mengundi juga yang menyokong aku selama ini.Kepada kawan-kawan blogers yang kian melupai aku (sebab dah lama aku tak jenguk),akan aku kembali aktif selepas ni memandangkan aku sudah berpindah rumah dan coverage internet lebih baik. :)
ILL BE BACK!!

Tuesday, June 16, 2009

Afundi Aku hahahaha!

Antara ujian yang paling besar dalam hidup aku sebagai anak seni adalah perlu berentap dengan 4 pelakon top di nagara kita untuk memegang watak utama dalam filem yang dijangka penuh dengan kontroversi iaitu 'Anu Dalam Botol.'(akan ditukar kepada 'Botol Dalam Almari')
Hasil daripada ujibakat yang diadakan di Finas pada bulan April dulu,terperanjat juga aku bila mendapat panggilan yang aku telah mendapat top 5 untuk watak Ghous mendahului 21 pelakon yang menghadiri ujibakat itu.Lebih mengejutkan aku ialah pemenang watak itu ditentukan dengan undian SMS,macam rancangan realiti tv pulak.Kalau tidak silap aku,undian boleh juga dibuat di murai.com itu sendiri.Jadi terpaksalah aku gunakan media maya ini untuk mempromosi diri hehehe.
(Petikan dari Raja Azmi untuk www.murai.com.my)

"Dengan ini saya umumkan bahawa calon Top 5 bagi watak Rubidin/ Robert/Ruby adalah Zizan Nin, Adiputra, Arja Lee, Kefli AF3 dan Ryzal (KRU) manakala untuk watak Ghous pula adalah Tony Eusoff, Norman Hakim, Fauzi Nawawi, Nazim Osman dan Wan Raja.
Pemilihan calon Top 5 ini dilakukan berdasarkan kepada mutu lakonan, gerak tubuh, kesesuaian watak, bentuk fizikal serta personaliti khususnya bagi watak Rubidin/Robert/Ruby. Kita bukan sekadar mahukan pelakon yang berwajah jambu semata-mata tapi dia juga harus mempunyai imej yang macho," katanya.

Apapun aku tidak mengharapkan apa-apa dari 'pertandingan' ini.Sebagai pendatang baru,aku sangat teruja bila bakat aku dihargai oleh panel uji bakat terdiri daripada saudara Adlin Aman Ramli,Raja Azmi dan pengarahnya Shadan Hashim.Dan jika tidak terpilih sebagai Ghous,watak pembantu sudah menanti dalam filem itu.Bagi aku itu sudah rahmat besar.
ps:lupa nak cakap aku adalah yang paling kanan untuk watak Ghous :D

Monday, June 1, 2009

Anak Tangga Ke Ketiga....Akhirnya.


Setelah lama menghilang dan setelah sekian lama merangkak dalam dunia drama dan perfileman,kini tiba masa untuk aku bangun dan mengorak langkah seterusnya.Anak tangga yang kedua mula aku tinggalkan.Tangan sedang menggapai anak tangga yang ketiga.

Kali ini aku diberi peluang untuk menulis dan berlakon cerita aku sendiri.Hasil perbincangan aku bersama rakan karib (Azad Jazmin),producer,pengarah dan pengarah fotografi di sebuah gerai di Ampang,tercetuslah idea untuk menghasilkan


"ANAK MAMAK,MENANTU MAMI"



Dibintangi oleh Azad Jazmin (Anak Mami),Faezah Elai (Otai) dan Aku sendiri dibantu oleh pelakon-pelakon teater Pulau Pinang dan juga dibantu oleh Mamak Mydin arahan Zulkifli SallehGhani,cerita ini mengisahkan tentang kehidupan sebenar anak mami di Pulau Pinang.


Sinopsis
Mengisahkan seorang pelajar yang sangat meminati anak-anak mami yang terdapat di universitinya.Dalam bilik kuliah,pensyarahnya memberikannya satu tugasan perlu disiapkan dalam masa cuti semester yang akan datang.Tugasannya memang sesuai sangat dengan minatnya “Pulau Pinang”.Mazir perlu mendapatkan seseorang yang dapat membantunya.
Jabbar seorang romeo yang merasakan dirinya seorang hero hisdustan,hobinya adalah mengurat perempuan-perempuan yang berada di dalam perpustakaan padahal tidak ada seorang perempuan pun yang mahu melayan kerenahnya.Walau bagaimanapun,Cuma Jabbar seorang yang dapat menolong Mazir.Mazir datang kepada Jabbar untuk memintanya membawa pulang ke Pulau Pinang.



Sampai di Pulau Pinang,Mazir sungguh teruja menaiki feri.Memandangkan ini kali pertama dia ke Pulau Pinang,dia sangat teruja melihat permandangan yang indah itu.Sampai dirumah,keluarga Jabbar,Mamak Sultan dan mami Jora Bee menyambutnya sebagai seorang tetamu dengan baik tetapi Jabbar sempat berlari menyembunyikan bingkai-bingkai gambar keluarganya kerana tidak mahu Mazir tahu yang dia punya seorang adik.
Pada paginya,Mazir terkejut melihat banyak makanan diatas meja denganmenu-menu yang sangat asing baginya.Selepas sarapan,Jabbar membawa Mazir berjalan-jalan disekitar Georgetown.Jabbar sempat memperkenalkan Mazir kepada bapa saudaranya Mamak Mastan.Walaupun Mamak Masan dan abangnya Mamak Sultan adalah musuh ketat,tapi Mamak Mastan masih melayan mereka dengan baik.Pelbagai kejadian yang pelik dapat Mazir alami sejak sampai di Pulau Pinang.


Mamak Sultan pulang kerumah selepas berniaga terlanggar air takungan lalu terkena jirannya yang juga musuh ketatnya Mamu Basyah dan berlakulah pergaduhan.Bukan setakat mamak dan Mamu yang bergaduh,isteri-isteri mereka juga turut masuk campur untuk menunjuk hebat.Ini lagi mengelirukan Mazir.
Setelah seharian berjalan,Mazir terasa haus dan turun ke dapur untuk mendapatkan air, ternampak kelibat orang diruang tamu dan dia terus menangkap orang itu.Kemudian lampu dibuka dan sebenarnya orang yang ditangkapnya adalah Shasya Bee,adik kepada Jabbar.
Sejak itu Mazir menaruh hati kepada Shasya Bee.Dalam diam,Mazir kerap mengintai Shasya Bee sehingga ia disedari Jabbar.Shasya Bee seorang pelajar kolej dan seorang anak mami yang pendiam serta menjaga tatasusilanya sehingga rakannya Normi Basyah,anak kepada Mamu Basyah mula mengajaknya berfoya-foya dipusat karaoke sehingga Shasya Bee menjadi teruja untuk mengikut kemana sahaja Normi p bilik sebelah.




Satu hari dengan tidak diduga Jabbar dan Mazir terjumpa Shasya Bee dan Normi yang mereka sangka awek dibilik sebelah.Kemudian ia menjadi punca pergaduhan dua keluarga.dalam masa yang sama En Rahman sangat berkenan kepada Shasya Bee untuk disatukan dengan anaknya Rafi yang seorang kaki perempuan.



Mamak Mastan dan Mamu Basyah yang menaruh dendam terhadap Mamak Sultan berpakat untuk menjatuhkan perniagaan Mamak Sultan dengan melepaskan lipas dan tikus di restorennya.Encik Rahman yang mulanya berminat untuk melabur kepada kedai nasi kandar Mamak Sultan akhirnya bertukar fikiran setelah kedainya disaman Majlis Perbandaran Pulau Pinang kerana kotor.Bukan setakat itu,niatnya untuk berbesan dengan Mamak Sultan juga dibatalkan.


Jabbar dan Mazir mengambil keputusan untuk menyiasat kejadian sabotaj itu dan mereka dapat menjerat dua orang upahan Mamak Mastan dan Mamu Basyah.Setelah dipaksa akhirnya dua samseng itu mengaku yang itu adalah angkara Mamak Mastan dan Mamu Sultan.Kemudian mereka berjumpa dengan kedua mamak itu mengaku bersalah setelah diugut untuk melaporkan kepada polis.Mereka berjanji untuk berdamai dengan Mamak Sultan.







Jabbar dan Mazir mengambil keputusan untuk menyiasat kejadian sabotaj itu dan mereka dapat menjerat dua orang upahan Mamak Mastan dan Mamu Basyah.Setelah dipaksa akhirnya dua samseng itu mengaku yang itu adalah angkara Mamak Mastan dan Mamu Sultan.Kemudian mereka berjumpa dengan kedua mamak itu mengaku bersalah setelah diugut untuk melaporkan kepada polis.Mereka berjanji untuk berdamai dengan Mamak Sultan.




Tamatlah sudah segala kerja di Pulau Pinang.Kini hanya tunggu masa untuk ke studio untuk editing.Dan drama ini baru sahaja dibeli oleh chanel baru di Astro iaitu Astro Warna dan insya allah akan ditayangkan pada awal tahun depan.



Kini aku sedang menghitung masa untuk projek aku seterusnya,kali ini aku akan berlakon satu watak heavy dalam telemovie "Kasih"....nantikan.


Tuesday, March 3, 2009

Sepetang di Lorong Pencuri

Pernah satu ketika sebuah sebuah lorong yang lengang disebelah pagi menjadi sesak pada petangnya gara-gara terdapat banyak gerai yang menghidangkan barangan terpakai sama ada ia barangan yang dibeli,dikutip juga di 'copet' untuk para penjual mencari sesuap nasi dan seinjek dadah.Itulah lorong yang digelar lorong pencuri atau 'RoadWalk".Konsep jualannya tidak banyak beza dengan yang terdapat di Amcorp Mall,PJ.Mungkin sebab dihanyut arus kemodenan pada ketika itu,lorong itu sudah tidak lagi pengunjung diminati dan ia dinaikkan taraf serta dipindahkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang ke lokasi yang lebih selesa iaitu di sebalah Stadium Bandaraya.Tapi 'feel'nya agak kureng sebab barangan dilokasi baru itu lebih kepada barangan murah seperti di Pelaling Street.

Baru-baru ni,dalam perjalanan ke satu destinasi,terkejut aku melihat ratusan kepala yang mengerumuni kawasan itu seolah satu pesta,rupanya 'lorong pencuri' sudah hidup kembali.Mungkin ini juga salah satu idea pihak kerajaan baru Pulau Pinang untuk menarik pelancong di tanjung ini.Jom Usha............

Ini dia Roadwalk,Armenian Street

Antara gerai yang paling dikunjungi,Apek Jam Antik

Apa barang daa?Paip buruk pun jadi?

Haaa! kalau sesiapa yang hilang kasut masa semayang jumaat,disinilah anda boleh jumpa balik


Yang meramaikan majlis selalunya orang yang nak tengok2 je,atau penyeluk saku mencari mangsa

Satu gerai yang paling unik pernah aku tengok!

Yaaaa!Setelah penat meronda,sampailah aku ke destinasi.Mamak Mee Chulia Street.Rindu gila aku mee mamak ni setelah lama diperantauan.
#Harap-harap tak adalah mana-mana pelancong yang teruja ke Lorong Pencuri itu poketnya kosong diselup bila tiba dihotelya.

Saturday, January 31, 2009

Ambil Oksigen.

Tiga purnama aku menyelam.
Sirip tersangkut dicelah karang,
Baru sempat kepermukaan laut dalam,
hirup udara menampung selaman keseberang.

Mimpi yang dikejar tidak semudah yang kusangka,tapi tetap aku bersyukur kerana gunung yang ku tuju masih lagi kelihatan walaupun jauh nan sayup.Ini tandanya masih betul hala laluanku.Rintangan serta sengketa usah dibicara,sesaat mata dibuka ia sudahpun muncul terpacak sehingga mataku ditutup.Alang-alang bertekad, spektra ku mesti terus didepan,tidak ingin menoleh kebelakang.

Masa yang ada ini sangat singkat untuk aku melawat ke laman kalian,harap maaf.Aka ku curi masa untuk singgah ke hadapan rakan rakanku semua.

Aku hadiahkan hari ini catan yang sempat aku siapkan
semantara menunggu tawaran yang lain.

Harap semua bahagia saja.Salam.

Thursday, October 30, 2008

Sementara..............

Ijinkan aku berhalimunan seketika atas hambatan kerja demi mengejar mimpi.

Akan kembali bersua bila diijinkan masa.

Tuesday, October 21, 2008

Immortal!




Do you know what's there, waiting,beyond that beach?



IMMORTALITY! Take it! It's yours!


-Achilies (Troy)

Friday, October 17, 2008

Uji Bakat Illustrasi?

Selalunya kalau terima panggilan dari sebuah produksi ni sudah pasti tawaran berlakon akan tiba,sama ada drama,iklan atau filem.Bila talipon berbunyi,teruja aku melihat nombor syarikat itu tertera di skrin talipon aku,ingatkan tawaran berlakon seperti biasa.Tapi hari itu agak lain sikit bunyinya."Sebenarnya kali ni kami bukan nak offer kau berlakon,tapi nak offer lukisan kau berlakon".Pelik bunyinya,tapi itulah yang syarikat besar itu tawarkan.Setelah mereka tahu yang aku juga boleh melukis,aku diminta untuk menyiapkan beberapa jenis lakaran atau stroke ilustrasi untuk mereka cadangkan kepada sebuah syarikat makanan ringan.Wow!


Salah satu ilustrasi yang aku siapkan(Yang diluluskan)
Bagai nak rak,gila jugak aku menyiapkan 3-5 stroke berbeza yang perlu di email dalam masa dua hari.Akhirnya,salah satu stroke diterima dan produksi itu berjalan dengan segera demi mengejar deadline.
Ku sangkakan pereka-pereka syarikat tu dapat menyiapkan animasi tu dengan mudah memandangkan ada satu software animasi yang boleh menggerakkan sendiri sebarang ilusterasi,rupanya aku diminta pulak untuk menyiapkan kartun sehelai demi sehelai seperti dibuat Walt Disney 50 tahun dulu.Aduh,mampus!


Bersengkang mata aku siang malam menyiapkan beratus sketch berpandukan 'story board' yang dikirim.Sambil mengajar pun tangan aku terpaksa bergerak.Memandangkan aku di utara,syarikat tu pulak di KL jadi setelah siap dan aku email,siap dan email.Itu saja jalan untuk kami berhubung.






Banyak juga masa bersama sama kawan-kawan,rumah terbuka perlu aku korbankan.Tapi demi perhubungan dan sesuap nasi tambahan,bersemangat jugak aku menyengkang mata.Jika kufikir balik,bagus juga untuk 'port folio' aku,hmmm takpelah buat saja sampai siap.


Sehari selepas lukisan terakhir dikirim,aku terima panggilan produksi tu."mesti nak bincang harga ni hehehehe" rezekiallah.Rupanya berita buruk yang aku dapat.Atas sebab masalah teknikal dan kekangan masa,projek ini tidak dapat diteruskan.Kedua-dua syarikat ni gagal untuk mendapat persetujuan dan sefahaman antara mereka.Malang,sungguh malang nasibku.
Perlukah aku menangis atau perlukah aku mencarut? (@#%$&*%)

Monday, October 13, 2008

Siap Sudah!


Lama aku menunggu dan akhirnya siap sudah muzik video 'Sepanjang Hayatku" nyanyian penyanyi baru J'Zelynn.Sedang aku sibuk menaip,minah campuran Cina Mat Salleh ni buzz aku memalui yahoo massanger dan send video klipnya.

Sebelum ni aku banyangkan jugak macam manalah jadinya video ni bila dah siap.Selalunya kalau penyanyi baru,video klipnya faham faham jelah,dengan bajed kurang dan persiapan ala kadar,mesti akan menjadi bahan gelak ketawa,tapi tarkejut jugak aku dengan video ni.Seolah macam muzik video seorang penyanyi yang memang sudah lama bertapak dan terkenal.Dan tengok sekali lagi ia seperti muzik video Celine Dion "Its All Coming Back To Me Now" hehehehe,boyfriend slam pintu dan pecut laju dengan motor dan mati katak kemalangan.(Jangan marah Janice :D) Dengan bujed yang tidak sebegitu banyak,aku kagum dengan kekretifan pengarah serta ahli produksi menyiapkannya.

Apa pun aku bangga sekali dapat kepercayaan oleh penyanyi dan produksi ni dan memberi aku ruang untuk terlibat dan barlakon dalam muzik video ni,Im honored.

Mari kita kongsi..................

Monday, September 29, 2008

Jariku Disusun Sepuluh Memohon.

Walau tak pernah bersua muka,
Kesalahan tiada jangan disangka.
Kesempatan pada hari yang mulia ini tidak akan ku lepas untuk memohon ampun
dan maaf kepada rakan rakan mayaku jika ada sebarang silap kata,silap pandangan,silap fikiran.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI,
MAAF ZAHIR DAN BATIN.


Kepada rakan-rakan yang setia mengunjung dan memberi komen serta pandangan,aku hargainya dan disini ku hulurkan duit raya kepada kalian semua untuk duit belanja dan tambang balik kampung.


ps:kalau sampai ke Pulau Pinang,contact lah.Jemput ke rumah :D

Thursday, September 25, 2008

Menjelang Aidilfitri:Korban Nyawa Demi RM4.60

Sekali lagi sedang aku membelek-belek surat-E sebelum memulakan kelas,aku tersentak membaca dan melihat gambar- gambar yang terhias didalamnya.Kali ini suatu peristiwa yang tidak aku jangka sama sekali berlaku.

Demi wang zakat sebanyak Rp 30,000(RM4.60),ribuan penduduk berduyun-duyun dan bersesak-sesak angkara kesempitan hidup di kawasan pedalaman Kota Perusuan,Indonesia.Peristiwa trajis ini telah mengorbankan 21 nyawa yang malang.Tanpa mereka sedari,pada hari itu, suatu rahmat yang mereka harapkan bertukar menjadi suatu musibah.

Dari awal pagi lagi ribuan penduduk miskin yang datang dari pelbagai pelusuk daerah datang berduyun-duyun ke rumah seorang dermawan di sekitar kota itu setelah mendengar khabar bahawa hartawan,H Syaichon ingin menunaikan zakat dengan menderma kepada penduduk miskin.Ternyata benar khabar itu.Jadi dengan sekelip mata dari puluhan bertukar ratusan dan kemudian ribuan yang memenuhi halaman rumah itu sehingga barisan yang aman dan teratur bertukar menjadi huru-hara.
Barisan yang mulanya diatur oleh keluarga dermawan itu merus menjadi sesak sehingga ramai yang dihimpit dan pengsan akibat kekurangan oksigen.Lebih malang lagi sesiapa yang lemah tidak akan terjamin keselamatannya,akibat itu ramai yang lemas dipijak dan terkorban.Al-Fatihah untuk umat Islam yang terkorban itu.

Inilah gambar-gambar mereka yang terkorban akibat kesesakan lautan manusia dan kesempitan hidup yang melanda umat Islam di Indonesia.Walaupun niat dermawan itu sungguh mulia,mungkinkah nyawa-nyawa itu dapat diselamatkan jiwa beliau menyalurkan derma itu kepada istitusi yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pungutan Zakat dinegara kita ataupun beliau tidak yakin dengan sistem yang sedia ada dengan institusi pengurusan zakat di negara itu?wallahhualam.
Yang penting,aku merasa sungguh bersyukur dan bertuah kerana kemiskinan di sini tidak se'kronik' itu dan tiada penyelewengan dari pihak pengurusan zakat negara kita sehingga kita semua amat yakin dan dengan senang hati menunaikan rukun Islam yang ketiga ini.Alhamdulillah.
#sumber dari Yesika Silvi Anastasia,Tangerang - Indonesia.

Monday, September 22, 2008

Mengenal Seni Warisan Dunia-UNESCO

Ia salah sebuah dramatari tradisional yang menggabungkan elemen-elemen seperti tari,teater,muzik dan juga nyanyian.Ia adalah Mak Yong yang dicipta oleh Paduka Cik Siti Wan Kembang sekitar 1320M di Kelantan dan terus berkembang sebagai kesenian milik istana.Pada ketika itu seni ini berada dikemuncaknya dengan Almarhum Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar(1875-1935M) sebagai pelindung dan penaung utama Mak Yong di Kelantan.

Suatu ketika,Mak Yong menjadi kegilaan di Pattani (selatan Thai),Kelantan dan Terengganu dengan wujudnya banyak kumpulan yang bersaing sesama sendiri.Selain itu,beberapa kumpulan Mak Yong dengan versi disesuaikan dengan ciri-ciri tempatan terdapat di Pulau Bentan dan Deli,Serdang Indonesia.Ia semakin pesat membangun dan menjadi ikutan setiap perusuk nusantara.Kini,Kementerian Perpaduan, Kebudayaan,Kesenian dan Warisan Malaysia berusaha memperkenalkan Mak Yong ke persada dunia sehingga pihak UNESCO telah menyenaraikan kesenian ini sebagai salah satu warisan dunia - Masterpieces of the Oral and Integible Heritage of Humanity.

Pada zaman kegemilangan itu,panggung atau pentasnya hanya terdiri daripada sebuah bangsal beratap tanpa dinding agar dapat ditonton dari semua penjuru.Binaannya tetap kukuh dan gah serta ia mudah untuk pemain-pemainnya bergerak.Orkestranya pula disusun dengan pemain rebab disebelah timur berhampiran tiang seribangsal bagi membolehkan pelakon menghadap kearahnya sewaktu tarian pembukaan (menghadap rebab).

Dalam persembahan Mak Yong, persembahan dibuat secara gerak tari berkeliling dimana ia akan dimulakan dengan acara"buka panggung' untuk mengelak kejadian tidak diingini dan diikuti dengan bertaduh,kemudian upacara menghadap rebab,sedayung Pak Yong,sedayung Mak Yong,Ziarah Bilik Pengasuh(Sedayung panggil Awang),berkhabar dan seterusnya memainkan sebarang lagu atau tari mengikut cerita yang dipentaskan.Persembahan ditamatkan pula dengan "tutup panggung'.Selain daripada watak Pak Yong dan Mak Yong yang berlakon sebagai menteri atau raja,antara watak kegemaran penonton adalah 'peran',seorang pelawak yang mengundang ketawa penonton. Terdapat tidak kurang daripada 30 cerita cerita Mak Yong yang penuh dengan pengajaran namun,hanya 12 cerita yang sering dimainkan.Antaranya ialah Dewa Muda,Bongsu Sakti,Anak RAja Panah Dewa dan Gading Bertimang.Terdapat tidak kurang pula 50 buah lagu Mak Yong malangnya mereka yang mengetahui dan boleh menyanyikannya amat berkurangan.

Dengan diiktirafnya seni ini oleh UNESCO,diharap ia akan dapat dipelihara dan tidak akan hilang ditelan cyber.Banyak langkah yang telah diambil oleh KeKKWA,USM ASWARA serta UiTM untuk memelihara dan mengekalkan seni ini dengan mendidik juga mementaskan ia bagi memperkenalkan kepada rakyat dan diharap langkah ini dapat diteruskan sehingga ke generasi futura.

-sumber ikhsan dari KeKKWA dan USM.

Monday, September 15, 2008

Nik Aziz:Tokoh Keamanan?

Pagi ini sedang aku membelek-belek e-mail,terbaca aku sebuah e-mail dikirim oleh sahabatku, Sebat Luncai yang amat menarik dan membuatkan aku berasa amat bangga dan dengan tidak sengaja bibirku tersenyum puas.Apa ini benar?Suka sekali aku berkongsi dengan kalian.

Tahniah buat TG Nik Aziz dengan pemberian anugerah daripada Gusi Peace Price Foundation yang beribu pejabat di Manila . Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun dan dikatakan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk mendapat anugerah yayasan itu. Anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi , Insyaallah pada bulan November ini di Manila, Filipina.Menurutnya, TG Nik Aziz adalah tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Sebelum ini, anak Kelantan, Datuk Ismail Mohammad dianugerahkan pada 2006 menggantikan Tun Dr Mahathir yang dikatakan tidak boleh hadir untuk menerima anugerah itu pada tahun tersebut. Ini kerana peraturan yayasan mengatakan bahawa penerima anugerah hendaklah menghadirkan diri dan terima sendiri anugerah yang diberikan.Untuk tahun ini, sebanyak 1,490 orang tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah itu. Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia , menurut Barry Gusi.


Sekali lagi, tahniah diucapkan buat TG Nik Aziz. Semoga dengan pemberian anugerah ini dapat membuka mata Malaysia secara amnya dan dunia, khasnya bahawa kita bukanlah pengganas,ia datang dari nagara yang beriya-iya menuduh. Orang kita pula mengharapkan media arus perdana berbahasa Melayu dapat menyiarkan artikel anugerah yang diperolehi oleh TG Nik Aziz ini di dada akhbar mereka. Biar semua orang nilai sendiri ketokohan TG Nik Aziz ini,fahaman politik kita ketepikan buat seketika. Ini adalah satu anugerah yang tinggi bagi rakyat Malaysia,orang Melayu khasnya.Kenapa berita gembira ini hanya disebarkan diruang maya,sepatutnya kita berkongsi dan sama-sama mewar-warkan berita ini sebagai tanda syukur.

Tuesday, September 9, 2008

Orang Kata.........

Ada orang kata..............

Pandai dia bercakap,mesti banyak ilmu didada,

Dia tu cuma diam saja,mesti satu benda pun tiada diminda,

Siapa kata?!

Siapa kata yang diam itu dungu,jangan disangka yang tunduk itu bodoh,

Siapa kata yang petah itu pandai,jangan disangka yang banyak bercakap itu bijak.

Kalau tak percaya hayati video depan mata.

Tuesday, September 2, 2008

Nostalgia Merdeka:Askar Jepun dan Lampu Dynamo

31 Ogos:Bila terdengar laungan Merdekaaaa! atau lagu lagu patriotik berkumandang dikaca dan di corong media,pasti ramai yang terkenang cerita tentang pengalaman pahit yang dirempuh nenek moyang mereka dulu.Tapi bagi kebayakkan anak muda sekarang pula,malam merdeka adalah malam untuk merempit sambil pemboncengnya mengibarkan bendera dan hon dibunyikan beramai-ramai serta melaungkan merdeka! dari atas motosikal diselikan dengan bunyi koyakan minyak motor.Sungguh istimewa malam itu bagi mereka.Sementara hari merdeka hanyalah cuti umum dan perarakan merdeka boleh kita tonton dari kaca tv.Bagi kaum hawa pula,jualan murah merdeka yang mereka dinanti-nantikan.Istimewa sungguh hari Merdeka.

Salah satu filem yang wajib ditayangkan setiap ambang merdeka adalah Sarjan Hasan,suatu yang tidak akan lekang dari ingatan merdeka kita.Sungguh berinspirasai filem itu.Bagi aku pula,setiap kali menonton filem itu,mengingatkan aku tentang sebuah kisah yang pernah suatu ketika dulu berlaku pada zaman penjajahan Jepun di Malaya.Cerita menghayat hati tentang pengorbanan Pak Usop yang malang.Ini adalah cerita dari orang orang tua yang masih hidup di sekitar kawasan rumahku.

Suatu ketika dulu,Butterworth,Pulau Pinang adalah salah satu pusat pentadbiran tentera Jepun di bahagian utara.Mungkin sebab ia adalah kawasan yang strategik untuk pengangkutan udara,laut dan darat.Di sini juga adalah tempat menyimpan stok stok seperti makanan,pakaian dan senjata mereka maka keraplah tentera tentera ini menghantar bekalan ke kawasan seperti Kedah,Perlis dan utara Perak.Setiap kali penghantaran mesti tentera Jepun akan membawa seorang atau dua hamba tempatan bagi memudahkan kerja mereka dan mungkin juga bagi menunjukkan arah tuju yang dihala.Suatu hari tiba giliran Pak Usop.Tugasan mereka kali ini adalah menghantar bekalan ikan kepada kem tentera di Sungai Petani,Kedah.Dengan semangat kental Pak Usop mengangkat tong-tong yang mengandungi ikan dengan kuderat yang luar biasa.Terpegun askar askar Jepun melihatnya.Kemudian dia diarahkan duduk dibelakang jeep bersama-sama tong-tong ikan itu,bukan masalah bagi Pak Usop yang gagah itu.

Setelah tiba di kem Sungai Petani,Pak Usop cuma dijamu dengan Ubi Kayu dan air kosong,namun ia juga bukanlah masalah bagi Pak Usop yang gagah itu.Setelah puas pemandu jeep itu berehat dan hari pun semakin gelap,mereka mula bersiap sedia untuk pulang ke Pulau Pinang.Jalan yang bakal dilalui ketika itu hanyalah jalan-jalan kecil dicelah-celah pokok getah.Setelah lebih kurang setengah jam bergerak dari kem,dalam keadaan malam yang gelap itu,tiba tiba lampu jeep itu terbakar dan terpadam.Tiada pula cahaya bulan pada malam tu,memang gelita.Pak Usop terdengar berbualan dua askar Jepun itu sama ada mahu terus pulang ataupun patah balik ke kem Sungai Petani.Di dalam otak Pak Usop,eloklah patah balik memandangkan ia lebih dekat dan dapat dia berehat.Tetapi kelihatan seperti mereka masih mahu meneruskan lalu dia pun mencari helah untuk menahan niat mereka dengan memberi alasan merbahaya,jika terlanggar batu dan lubang,akan rosak pula tayar jeep itu.

Idea Pak Usop seolah-olah berjaya meracun fikiran mereka.Maka mereka mula berpatah balik.Tersenyum Pak Usop setelah mereka percaya dengan kata katanya dan dia cuma terbayang-bayang dapat melelapkan mata hingga keesokkan harinya.Hanya beberapa saat setelah mereka berpatah balik.Mereka ternampak seorang tua sedang mengayuh basikal baru pulang dari masjid.Basikal itu punya lampu berkuasa dynamo.Kemudian si pemandu jeep pula punya idea yang lebih bernas.Dia merampas basikal dari orang tua itu,kemudian membuang tayar belakang dan mengikatnya di atas bonet depan jeepnya lalu memaksa Pak Usop untuk mengayuh basikal itu hungga keluarnya cahaya.Jika perlahan kayuhan maka kuranglah cahaya.Akibat itu buntut Pak Usop akan dicucuk dengan pedang jika kayuhannya perlahan.Terpaksalah Pak Usop yang malang itu mengayuh basikal dengan laju dari Sungai Petani hingga ke Pulau Pinang.Betapa malangnya nasib Pak Usop malam itu.Sebijak-bijak Pak Usop memberi idea malas,bijak lagi idea kejam si askar Jepun.

Begitulah melangnya nasib orang kita ditindas ketika zaman penjajah.Pelbagai seksaan diharungi oleh nenek moyang hampa dulu.Tak macam anak-anak muda lani,untung.Bukak-bukak mata dah ada televisyen,computer”kata salah sorang pak cik yang mencerita pengorbanan Pak Usop.

Harap cerita ini dijadikan iktibar,sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh juga ketanah hehehe MERDEKA!!MERDEKA!!MERDEKA!!

Thursday, August 28, 2008

Rumah@Studio@Galeri (Istana Impian)

Ya,terasa lama sudah tidak memperbaharui diri disini,semuanya bahana kegagalan blogku untuk memuat naik gambar-gambar,maka tak bersemangat aku menulis.Hujung minggu lalu aku dijemput oleh ketua jabatanku untuk menjenguk pameran yang diadakan dirumah@ studio @ galerinya yang sungguh mempersona.Ia juga adalah majlis pembukaan galeri,perasmian 'Galeri Taazim Mazwari',pameran dan juga "house warming" rumahnya,semuanya dijalankan serentak.Ramai juga orang orang besar dan penting dalam seni tampak hadir untuk memberi sokongan.

Jom,aku bawak kalian semua 'tour' galeri boss aku....................

Antara karya suaminya Drew Harris - Topi Series

Karya bersama Sher Mazwari dan Drew Harris- Tidak Bertajuk.

Octo karya Mark Kaufmann

Sebuah 'installation art' memukau dari Fauzan Omar

Topi lagi

Kapal Mark Kaufmann

Satu lagi karya Drew yang tidak bertajuk tetapi memukau para tetamu.


Inilah salah satu unit rumah @ studio kepunyaan Sher Mazwari dan Drew Harris yang terletak di sekitar Jalan Burmah,Georgetown.Kawasan perumahan yang sunyi itu tiba-tiba bertukar menjadi meriah pada hujung minggu yang lalu.Rata rata mengunjung agak gembira kerana satu lagi galeri muncul untuk memeriahkan lagi arena seni tampak di tanjung.Dan diharap aktiviti seni ini akan membangun lebih tinggi di pulau ini.

Monday, August 18, 2008

Biawak Dikepung,Ikan Terapung (sambungan)

Ketika sahabat kami masih berada dibawah kaki pasangan biawak yg sedang bercumbu itu,hantu laut otai terus melangkah ke persisiran dengan pelbagai niat,satu,mahu menyelamatkan sahabat,dua,ingin memberi ajaran kepada pasangan itu dan dia terus menuju kesana maka yang lain pun melangkah perlahan menurut dari belakang.

Setelah ternampak samar samar seekor makhluk besar gagah sedang berjalan dari dalam laut,si gadis itu terperanjat dan terdengar suaranya “abang,apa tu?!” lalu kedua biawak itu bingkas bangun dan berundur terperanjat.Dengan tidak semena mena si otai bersuara “Ustat Kulup mana.Ustat,keluar ustat.” Mahu tak mahu kesemua kami terpaksa berlakon sebagai pegawai khalwat lalu ustat Kulup pun menyahut “Ya,ada sini ustat otai.” dan muncul dari celah celah batu.Muncul pula 6 lagi pegawai dari dalam air dengan muka yang tidak mesra.”Buat apa disini?’sapa kami pula,kemudian dengan yakinnya sahabat kami yang dari bawah batu itu dengan hanya berseluar dalam bangun dan terus berlakon.”Ya ustat,macam mana?,saksi semua dah cukup ni”maka hilang darah dimuka pasangan itu.Tidak terjawab soalan bertalu-talu kami.Cuma pasti mereka terfikir,dasyat betul pegawai khalwat disini,muncul dari dalam air dan celah celah batu dalam gelap ditengah-tengah malam.Sungguh komited dengan kerja.

Lakonan dan penghayatan watak kami semakin menjadi-jadi dan ketahap yang paling tinggi,masing masing melontarkan dialog dengan seriusnya.Ada kala juga aku terdengar dialog yang dipetik dari skrip-skrip yang pernah kami lakonkan(aku Cuma tertawa didalam hati,muka maintain serius),sungguh meyakinkan lakonan semua,kalau dipentaskan memang memberi kesan pada penonton.Pasangan itu mula merayu-rayu dan air mata mula bertakung dikelopak.”Tolonglah ustat,encik,abang,kami cuma berehat sekejap saja disini,kami tak buat apa apa pun”rayu si lelaki itu.”Amboi,berehat konon,kami nampak semua tadi,dari hampa sampai,duduk,bukak tudung,posing dengan kamera,dan bersuka ria,semuanya kami nampak”.maka mereka terdiam membisu.Ustat Kulup pula tidak berhenti-henti menelifon ustazah (lakonan semata-mata) “ya,bila nak sampai ustazah,dah lama dah kami tahan pasangan ni,bawak van mai cepat.Apa?ada 4 lagi pasangan?Hmm cepat sikit.”.Maka meraung lagi si gadis itu.”Tolonglah ustat,lepaskan kami,kami janji tak buat dah” tetapi semua masih tetap dengan watak masing masing.

Entah bagaimana salah seorang dari kami menyoal bertali arus tentang rukun rukun dan ayat ayat yang patut semua orang islam tahu.Tergagap-gagap si lelaki itu menjawab,tertungging terbalik ayat ayat serta rukun rukun dijawabnya sehinggakan dua kalimah syahadah pun lain yang dijawabnya,selawat mailudurrasul pula yang terkeluar.Datang pula ustat otai untuk membetulkan lelaki itu,lakonan otai itu sungguh dasyat,sungguh meyakinkan,sungguh sedap dia mengucap,dengan idgham dan dengung yang cukup lengkap,kami seperti mendengar seorang arab badawi mengucap.Kemudian ditarbiahnya pula si lelaki itu tentang hukum hakam dan tanggungjawab sebagai lelaki,suami dan umat islam.Dia cuma tunduk membisu.Kemudian giliran si gadis pula dimadrasahkan sehingga megalir air mata insaf.

Dan setelah lebih sejam barlakon,kami mula penat dan ketandusan idea untuk bermain,kami cuma memberi amaran keras kepada pasangan dari pantai timur itu supaya tidak lagi megulangi perbuatan itu,dan kalau boleh percepatkanlah niat untuk bernikah sebab kedua duanya sudah kemaruk tidak kira tempat dan waktu.Yang paling tidak boleh kami lupakan bila si pasangan itu disuruh pula untuk berdialog “abang,lain kali tak nak buat macam ni dah ye,jangan bawak saya datang ketempat begini lagi ye?janji tau.’dialog untuk si gadis.”baiklah,abang janji,lain kali abang tak buat lagi”untuk si lelaki pula.Sungguh kejam.Dan dengan muka serius,kami melepaskan mereka dengan amaran juga harapan tidak lagi mereka ulangi dan dengan pantas mereka menuju ke motosikal lalu memecut lari.Barulah kesemua ustat ini kembali ke watak asal dan ketawa bagai gila.Salah satu sebab yang membuatkan kami ketawa besar adalah kemeja T yang dipakai masing masing kesemuanya bercetakkan persembahan teater dan seorang ustat hanya berseluar dalam.Mungkin sebab terlalu takut dan bersalah,pasangan itu tidak perasankan baju-baju itu.Sungguh gagal pereka kostum untuk persembahan ini.

Jadi malam itu kami cuma menghabiskan masa dengan bergelak ketawa menceritakan kembali kejadian melucukan itu kepada rakan rakan serta isteri masing masing yang cuma memerhati dari jauh dan yang tidak dapat turut serta.Tak cukup disitu,kesemua kami memenuhkan sebuah kedai mamak dan ketawa sampai ke pagi.Untuk menyelamatkan seorang sahabat,itulah aktiviti serta lakonan improvisasi yang tidak mungkin dapat kami lupakan seumur hidup.Jahat sungguh kami malam ini,jadi pembuli yang kejam hahaha.

Inilah yang dinamakan 'Happening Theatre',iaitu lakonan yang tidak dirancang,berlakon mengikut keadaan yang berlaku dan dihadapan orang yang menonton.Dalam kes ini tidak ada penonton,cuma ada mangsa kejam macam dalam wakenabeb.hehe.Kalau berkesempatan akan aku tulis lebih mendalam tentang Happening Theatre di dalam blog Bakawalee-TETAMU nanti.

Tuesday, August 12, 2008

Ikan Yang Dijala,Biawak Yang Ditangkap (18SX)

Seperti biasa selepas selesai sesebuah persembahan,ahli ahli produksi akan melepaskan lelah dengan aktiviti seperti berkelah,meredah hutan,berkemah atau setidak tidaknya makan besar.Kali ini Batu Feringgi menjadi destinasi perkemahan kami.

Setelah kenyang menjamah ayam panggang segar dan golekan sosej diatas bara,hampir kesemua kaum adam meredah gelombang laut dikala bulan terpacak diatas kepala untuk memukat.Memang ramai pakar dalam bab menangkap ikan didalam kumpulan kami,jadi aku pun agak yakin diri untuk meredah air yang gelap itu memandangkan ramai ahli hukum alam berpengalaman disitu.

Selepas melabuhkan jala,kembali pula kami kepantai untuk melahap sisa sisa yang tertinggal untuk membunuh masa sebelum mengutip hasil.Seketika kemudian,alangkah malangnya nasib kami apabila kesemua ikan besar yang tersangkut cuma tinggal kepala bahana sang memerang.Dengan hati yang luka,kami pun melangkah longlai menuju ke persisiran.Kaki yang luka terpijak batu batu tajam mula terasa bisanya.

Sedang kesemua kaum adam hampa itu meredah air yang keleher parasnya,kesemua mata terpandang sepasang merpati malam berpegangan tangan ditepi pantai menuju ketempat gelap,maka terdengarlah bunyi syyyyy syyyyy dikalangan kami.”Jangan bising,ada show malam ni” ujar ahli yang paling berusia.Maka yang lain pun tersenyum dan mengambil tempat masing masing sambil menahan diri untuk ketawa dengan perlakuan masing masing.Memang kelibat kami tidak langsung disedari pasangan itu kerana terlalu gelap dicelah celah batu,walhal kami dapat melihat mereka dengan amat jelas sekali,lagipun siapa sangka didalam air,gelap dan jam hampir pukul 2 pagi itu ada 14 pasang mata memerhati.Jadi pasangan itu pun melabuhkan punggung dibalakang batu besar dan memulakan kerja over time mereka.Tudung gadis itu dicampakkan ke atas batu dan mereka hanya fasih bertutur dengan menggunakan bahasa insyarat tangan ketika itu.Agak lama mereka berinteraksi dengan tangan dan bahasa bibir yang cuma mereka saja yang faham. hihihi.

Oleh sebab terlalu lama menjala,rakan rakan di darat mula risau,dan datang seorang rakan,Kulup bersama lampu suluh untuk mencari 7 sahabat yang hilang.Menyedari kehadiran Kulup,pasangan itu dengan pantas menjauhkan diri dan pura pura memasang unggun api,tetapi Kulup tidak menghiraukan mereka mungkin kerana lebih bimbangkan kami.Mungkin disangkanya kami ditelan hantu laut.Bagi mengelak dari disedari pasangan itu yang mereka diperhati,kami menyembunyikan diri pula dari Kulup.Semakin risau dibuatnya Kulup,lalu dia beredar untuk mendapatkan bantuan.Setelah dia hilang dari pandangan,pasangan itu pun menyambung kerja mereka yang tertangguh.

Kemudian datang pula Kulup dengan 4 lagi rakan untuk misi mencari kami.Tersentot lagi pasangan biawak pantai itu.Setelah terpandang mereka,salah sorang rakan lagi seolah olah dapat mengesyaki yang kami bukanlah ditelan hantu laut,rupanya kamilah hantu laut itu.Mereka mula menyuluh dicelah celah batu yang agak jauh dari pasangan itu.Barulah lega hati si Kulup setelah tersuluh 3 kepala hantu laut didalam air.Hantu laut yang tua itu pun tersenyum dan memberi isyarat kepada Kulup “hahaha blah,nanti kantoi” dan dengan hati yang lega dan menahan ketawa,mereka pun pulang ke khemah.Sekali lagi biawak pantai menyambung kerja mereka.

Ombak mula memukul badan kami dan beberapa kali juga terhentak ke batu tajam.Azab mula terasa.Si pemegang jala pula mula risau kerana ada beberapa ekor sembilang berbisa yang terlekat dijala beberapa kali terkena dadanya lalu dia berenang ketepi pantai berhampiran tapak projek dan berlabuh di tepi sebuah batu.Mungkin inginkan tempat yang lebih selesa,ataupun terasa mereka diperhatikan,pasangan itu tiba tiba berpindah dan duduk diatas batu yang sama.Tanpa mereka sedar ada seekor hantu laut dibawah kaki mereka lalu terus menyambung kerja.Maka sahabat kami itu tidak dapat bergerak dan cuma terpaku dibawah kaki pasangan sejoli itu.Kami yang mengecut kesejukan itu mula risau.

“Ini tak boleh jadi,aku dah tak tahan dah ni,sejuk,marah,jijik.OK,hampa jadi ustat nak?”Kata hantu laut paling otai.

Bersambung…………………

Jangan lupa ikuti “Happening Theatre” serta kisah selanjutnya,dapatkah Sahabat kami itu diselamatkan?Apakah kesudahan sepasang biawak pantai itu?Apa pula tindakan 6 lagi hantu laut yang kesejukan itu?

Thursday, August 7, 2008

Mereka Baju untuk Nenek

Dalam cuti semester ni,walaupun sibuk dengan pelbagai bala kertas kerja di kolej,tetapi jabatan aku tetap juga perlu mencurahkan bakti kepada majikan dengan memperkenalkan kolej ke sekolah sekolah untuk mencari bakal pelajar yang berminat.(merketing ler!)Selalunya pihak sekolah akan menjemput juga kolej kolej lain untuk memperagakan kursus kursus yang ditawarkan supaya murid lebih mudah dan tahu kemana hala tuju mereka.Ia dikenali sebagai Hari Kerjaya.

Tapi kali ini lain agak sedikit tugasannya.Kami berbakti pula pada sebuah sekolah.Atas permintaan pengetua sebuah sekolah,aku dan ketua jabatan Fesyen dijemput untuk mengadakan bengkel menjahit seluar untuk pelajar tingkatan 4&5.Pelik,bukankah setiap sekolah punya guru mereka sendiri.Guru guru vokasional yang cukup terlatih pulak tu.Jadi aku dan boss aku dengan 'rela hatinya' pergi kesekolah itu berbekalkan sedikit nota dan pattern seluar slack untuk ditunjukkan kepada murid murid bertuah itu.

Seluar yang dihasilkan murid sekolah ni."Cikguu,macam seluar mak saya pi pasar".rungut seorang murid.
Setelah tiba,kami disambut mesra oleh guru-guru yang bertugas,perut dibelanja manja dengan roti canai kantin sekolah itu dan tekak pula disiram dengan kopi susu yang menyegarkan.Kemudian barulah kerja dimulakan.Sampai dibilik rekaan dan jahitan barulah cikgu tersebut menceritakan apakah masalah yang mereka hadapi.Serius,tapi lawak.Rupa rupanya murid muridnya sering merungut yang bentuk atau cutting baju baju serta seluar yang terkandung di dalam silibus kementerian yang terpaksa mereka jahit tersangatlah ketinggalan zaman dan hanya sesuai digayakan oleh nenek mereka.Tujuan kami dijemput adalah untuk mengajar mempelbagaikan lagi cutting,style dan details yang sesuai dipakai oleh mereka sendiri.

Mujurlah ada kami bawa pattern seluar yang sesuai untuk jiwa remaja diorang tu.Jadi,ketujuh tujuh jenis pattern block seluar yang dibawa itu di tekap dan diberikan kepada mereka.Dengan semangatnya diorang menyiapkan pattern itu sebab dah lama teringin untuk menjahit seluar yang ranggi untuk dipakai.
Kelas yang sebelum ini sukar dikawal itu,menjadi tenang dek terlalu asyik budak budak ni menyiapkan pattern diorang.

Antara koleksi pakaian kasual untuk model model dari rumah orang orang tua Batu Lanchang.


Bakat dan kebolehan budak budak ni tidak kurang hebatnya.Bagi pelajar tingkatan 4,lakaran seperti ini sudah dikira baik.Tetapi kreativiti mereka ni agak terbantut dengan tugasan tugasan dalam silibus yang sungguh ketinggalan zaman.Diharap pihak kementerian dapat mempelbagaikan dan memodenkan lagi rekaan rekaan yang ada didalam silibusnya :D Jangan terlalu konservatif sangat.Ada kalanya remaja perlu ada ruang untuk mengekspressi diri mereka.Mungkin ia cuma sebagai asas kepada mereka,tetapi jika ia diserikan dengan apa yang mereka minati,ia lebih efektif.